Kuala Lumpur, 29 Januari 2019 – Tampuk kepimpinan melibatkan dua jabatan di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Jabatan Pengurusan dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah disandang secara rasmi dalam Majlis Serah Terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang diadakan di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, dekat sini, pagi tadi.
CP Dato’ Abd Rahim Jaafar yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Kontinjen Kedah telah mengambil alih portfolio sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM selepas ia dipangku oleh DCP Dato’ Abd Jalil Hassan buat seketika.
Manakala jawatan Pengarah JSJK diserahkan oleh pemangkunya, Datuk Saiful Azly Haji Kamaruddin kepada CP Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor, yang terdahulu memegang jawatan sebagai Ketua Polis Kontinjen Selangor.
Majlis penyerahan tugas, bertukar dokumen dan simbolik penyerahan tongkat kuasa bagi kedua-dua jabatan itu dilakukan di hadapan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun dengan disaksikan oleh lebih 700 hadirin.
Turut diadakan penyerahan tugas bagi jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Pengurusan oleh pemangkunya, Profesor Madya Datin Siti Alida John Abdullah kepada Datin Anikah Othman dan jawatan Pengerusi PERKEP JSJK oleh Datin Syuhada Yahya kepada Datin Farihah Mohd Zamri.
Majlis serah tugas dan pertukaran dokumen rasmi PERKEP tersebut dilaksanakan di hadapan isteri Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Pemangku Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datin Sri Shahriza Saad @ Mansor.
Dalam majlis sama, Tan Sri Mohamad Fuzi turut menyempurnakan pemakaian pangkat kepada 19 pegawai kanan polis yang telah dinaikkan pangkat baru-baru ini sebelum menganugerahkan PJPN kepada 47 penerima yang terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai pangkat rendah dari pelbagai jabatan dan kontinjen PDRM seluruh Malaysia.
Penganugerahan tersebut adalah sebagai menghargai jasa bakti dan pengorbanan yang dipamerkan oleh kesemua penerima pingat dalam menjalankan tanggungjawab kepada pasukan dan negara.
Antara yang hadir dalam majlis tadi ialah barisan Pengarah, Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri, Timbalan Pengarah, para pegawai kanan, ahli-ahli PERKEP dan rakan media.
Pemangku Pengarah Pengurusan, DCP Dato’ Abd Jalil Hassan menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Pengarah Pengurusan yang baharu, CP Dato’ Abd Rahim Jaafar.
Pemangku Pengarah JSJK, Datuk Saiful Azly Haji Kamaruddin menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Pengarah JSJK yang baharu, CP Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor.
Sekitar penyerahan dokumen serah terima tugas.
Sekitar penyerahan dokumen serah terima tugas.
Sekitar pemakaian lencana pangkat pegawai-pegawai kanan polis.
Sekitar Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara.
Bergambar kenangan.
Bergambar kenangan.