Lahad Datu, 27 September 2021- Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim telah mengadakan lawatan kerja rasmi beliau ke Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di sini, pagi tadi.
Dalam lawatan kerja tersebut, Datuk Seri Hj. Mazlan telah ditaklimatkan mengenai hala tuju dan pengoperasian ESSCOM oleh Komander ESSCOM, DCP Datuk Ahmad Fuad Othman bertempat di ESSCOM Fushion Centre (EFC).
Beliau juga berkesempatan beramah mesra dengan barisan pegawai kanan ESSCOM yang terdiri daripada ketua-ketua staf keselamatan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Turut mengiringi Datuk Seri Hj. Mazlan ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato' Hazani Ghazali, Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Dato' Idris Abdullah, Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perundangan), SAC Tuan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dan Komander Briged Sabah, SAC Tuan Abdul Rani Alias.