Kuching, 22 Jun 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani membuat lawatan kerja ke Ibu Pejabat Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), Batu Kawa, di sini, petang tadi.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Komander Briged Sarawak, SAC Dr. Che Ghazali Che Awang bersama timbalannya, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah.
Lawatan KPN dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan yang terdiri daripada pegawai kanan dan anggota dari Briged Sarawak PGA sebelum dibawa ke bilik mesyuarat untuk mendengar taklimat 'smart post' yang disampaikan oleh Pegawai Turus Gerakan dan Risikan Briged Sarawak PGA, DSP Sahamran Ibrahim.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato' Sri Hazani Ghazali, Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato' Mohd Azman Ahmad Sabri, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha Anak Ata dan Komander Pasukan Gerakan Udara, DCP Dato’ Hishamudin Tahar.