Muar, 30 Oktober 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hari ini merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Tiger Platoon,
Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2021 dan Siri 1/2022 di Lapang Sasar,
Batalion 6 PGA, Muar, Johor, di sini.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain bersama Pengarah
Pengurusan, CP Datuk Zaini Jass dan
Timbalan Pengarah (Gerakan)
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, CP Dato' Khaw Kok Chin serta Komander Briged Tengah, SAC Zulkifli Jonit selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur.
Seramai 85 peserta kursus yang terdiri daripada dua pegawai kanan dan 83 anggota lain-lain pangkat telah berjaya menamatkan latihan dengan penuh cekal dan berani. Selama hampir tujuh minggu kesemua peserta kursus diuji daya tahan dan daya tempur bagi mendalami teknik peperangan amfibia serta ilmu medan perang.
Pada majlis yang sama, para hadirin turut dipersembahkan dengan pertunjukan demonstrasi oleh para peserta kursus meliputi persembahan Taekwondo, "Basic Shooting” dan “Advance Shooting”. Tidak ketinggalan turut diadakan persembahan "Counter Insurgency Warfare" (CIW) dan “Close Quarter Battle” (CQB) yang padat dengan aksi berani, pantas serta mendebarkan.
Turut berlangsung, upacara penyematan 'patch' Tiger Platoon PGA kepada Timbalan KPN, Pengarah Pengurusan dan Ketua
Polis Johor, CP Dato’ Kamarul Zaman Mamat serta pegawai-pegawai pemerintah batalion di bawah Briged Tengah PGA.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (PGA) Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato' Muhammad Abdul Halim serta warga kerja Jabatan KDNKA.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Lans Koperal Muhamad Izqhar Zainal Ibidin dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin.