Kuala Lumpur, 31 Oktober 2022 – Warga kerja Ibu Pejabat Polis Bukit Aman meraikan Sambutan Maulidur Rasul SAW Tahun 1444H/2022M dengan melakukan perarakan sambil mengalunkan bacaan selawat dari perkarangan lobi Menara 1 menuju ke Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mengangkat tema majlis, "Silaturahim Ulama Umarak", program diteruskan dengan bacaan al-Quran oleh Sheikh Husam Taiyyarah yang merupakan Pemegang Sanad Azan sehingga Bilal bin Rabah dan beberapa sesi ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, DCP Dato' Hj. Ghazali Hj. Daud serta tetamu jemputan yang terdiri daripada Pengerusi Persatuan Kebajikan
An Nur - Malaysia, Ustaz Ahmad Shadan Al-Hadrami, Penasihat Yayasan Al-Jenderami, Tuan Guru Sheikh Hj. Mohd Hafidzh Selamat serta Pengerusi Yayasan Ar-Ri'ayah, Al-Fadhil Al-
Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.
Berucap dalam majlis tersebut, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani mengajak warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghayati keperibadian Rasulullah SAW sebagai suri teladan terbaik untuk kita memimpin keluarga di rumah, keluarga di pejabat dan masyarakat seluruhnya, bagi mencapai kehidupan yang lebih harmoni seiring dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”.
"Seluruh keluarga besar PDRM akan sentiasa memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik seiring dengan tuntutan Maqasid Syariah, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam," tambah beliau.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Al-Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid.
Turut hadir, Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain, barisan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Hjh. Noorsiah Mohd Saaduddin, Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am), JIPS Bukit Aman merangkap Pengerusi Masjid Bukit Aman, SAC Afandi Senin, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia (
PERKEP), Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa bersama timbalannya, Puan Sri Zainah Othman.