Kuala Lumpur, 31 Januari 2023 - Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok yang mengiringi ibu hampir bersalin ke hospital sejauh 20 kilometer menerima Sijil Penghargaan Khas daripada Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Razarudin Husain.
Lans Koperal Mohammad Rizwan Razali dan Lans Koperal Mohammad Najmi Daud menerima anugerah itu
pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Berkongsi pengalaman, Lans Koperal Mohammad Rizwan berkata, ketika kejadian, dia bersama rakan setugas, Lans Koperal Mohammad Najmi baru selesai menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
"Ketika itu saya melihat kereta Proton Wira dipandu di laluan bertentangan dari Tangok ke Jelawat.
"Saya menahan kenderaan berkenaan sebelum dimaklumkan pemandu kenderaan itu isterinya hendak bersalin, saya kemudian memohon kebenaran daripada ketua untuk mengiringinya ke klinik berdekatan," katanya ketika ditemui hari ini.
Bagaimanapun, menurut Lans Koperal Mohammad Rizwan, sebaik tiba di klinik berdekatan, tiada ambulans di situ, kemudian dia membuat keputusan untuk mengiringi individu berkenaan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu sejauh 20 kilometer.
"Saya hanya menjalankan tugas dalam membantu orang awam yang dalam kesusahan dan kecemasan, penghargaan ini saya akan jadikan pemangkin semangat untuk terus berkhidmat pada masa akan datang," katanya.