Kuala Lumpur, 31 Ogos 2023 - Seramai 60 wira Polis Diraja Malaysia (PDRM), keluarga, waris, balu dan rakan seperjuangan yang terlibat sewaktu pertempuran berdarah tahun 2013 lalu dekat Simunul di Semporna dan Tanduo di Lahad Datu, Sabah disantuni dalam majlis santapan petang istimewa di
Istana Negara, di sini.
Kesemua mereka diraikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail dengan isteri, Datin Seri Norhayati Musa, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri, Puan Sri Zainah Othman dan Timbalan MDN, Datuk Seri Dr.
Shamsul Anuar Nasarah bersama isteri, Datin Seri Hasimah Hussin.
Majlis santapan yang dianjurkan dekat Istana Negara tadi dianggap satu pengiktirafan daripada Seri Paduka Baginda Tuanku berdua kepada wira-wira Pasukan dan ahli keluarga mereka yang terlibat dalam menghadapi ujianNya sewaktu mempertahankan tanah air tercinta, suatu ketika dahulu.
Kemuncak rasa masyghul Seri Paduka Baginda Tuanku berdua sehingga menitiskan air mata kasih terhadap jasa pengorbanan wira-wira Pasukan yang terkorban dalam insiden pencerobohan di negeri Sabah itu ialah ketika menyaksikan pentomin khas yang dipersembahkan ketika Istiadat Sambutan Hari Polis dan Istiadat Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2023, baru-baru ini.
Kedua-dua pentomin khas tersebut mengimbas kembali detik-detik pertempuran sebenar pihak keselamatan dengan para pengganas yang ingin merampas kedaulatan negara.
Pertempuran berdarah di Kampung Tanduo dekat Lahad Datu dan Kampung Sri Jaya dekat Semporna, Sabah di antara pihak keselamatan dengan pengganas bersenjata dari selatan negara jiran yang dikenali sebagai Askar Diraja Sulu 10 tahun lalu, mengorbankan lapan pegawai serta anggota polis yang terlibat dalam operasi dikenali sebagai 'Op Daulat'.
Mereka yang terkorban dengan pertempuran di Lahad Datu dan Semporna, Sabah ialah Allahyarham ACP Ibrahim Lebar dari Cawangan Khas, Bukit Aman, Mendiang DSP Michael Padel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dari 69 Komando, Allahyarham Sarjan Mejar Detektif Baharin Amit dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Allahyarham Sarjan Mejar Abdul Aziz Sarikon dari Pasukan Gerkan Am (PGA), Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud dari 69 Komando, Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran dari PGA dan Allahyarham Sarjan Sokongan Salam Togiran dari IPD Tawau.
Yang turut hadir tadi, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Gilberd Philip Layang dan Ketua Pegawai Turus Istiadat PDRM, Superintendan Mohd Ra'ayim Hj. Jemakir.