Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

SELAWAT NABI BERKUMANDANG DI PUTRAJAYA, KONTINJEN PDRM JOHAN PERARAKAN KATEGORI BADAN UNIFORM

Putrajaya, 28 September 2023 - Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 disambut meriah dengan alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW bergema ketika perarakan mega menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pagi tadi.

Kontinjen Polis Diraja Malaysia yang turut mengambil bahagian dalam perarakan sejauh lima kilometer bagi kategori badan beruniform meraih johan apabila mengumpul markah 98 peratus, sekaligus meletakkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia di tempat kedua serta ketiga.

Dengan kemenangan tersebut, Kontinjen PDRM yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Agama & Kaunseling) Bukit Aman, SAC Hj. Md Khair Hj. Othman membawa pulang hadiah berupa wang sagu hati termasuk sijil penyertaan.

Bertemakan 'Perpaduan Teras Malaysia MADANI', sambutan tadi turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dato' Setia Dr. Mohd Na'im Hj. Mokhtar, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) JIPS Bukit Aman, DCP Dato’ Hj. Ghazali Hj. Daud.

Dalam sambutan tahun ini juga, Penasihat syariah dan ekonomi, Profesor Datuk Dr. Syed Othman Syed Husin Al-Habshi telah dipilih menerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Tahun 2023.

Manakala enam tokoh lain iaitu Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Hj. Misnu Hj. Taha, Pengasas dan Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Dato’ Hj. Kamarudin Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Falak Syari’i Malaysia, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, pakar veteriner, Dato’ Dr. Mhd Nordin Mohd Nor, orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, Encik Zamzuri Ghani serta bekas Pengarah Kolej MARA Kuala Nerang, Puan Hjh. Shaariah Dahman juga dikurniakan anugerah mengikut kategori masing-masing.

Jurugambar: PDRM RMP TV

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS