Kuala Lumpur, 29 September 2023 – Khidmat bakti Pengarah
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Dato’ Sri Mat Kasim Karim selama 35 tahun di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah sampai ke penghujungnya apabila beliau akan menjalani persaraan pada 30 September ini.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu memulakan kariernya di dalam Pasukan sebagai Inspektor Percubaan pada tahun 1988 dan diberi
mandat oleh pucuk pimpinan PDRM untuk menggalas tanggungjawab memimpin JSPT bermula pada 28 September 2021.
Mengenang jasa beliau dalam Pasukan, petang tadi telah berlangsung Majlis Paluan Berundur yang diadakan dengan penuh adat kepolisan di Dataran Kawad,
Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isterinya, SAC Datin Sri Dato' Zalena Mohd Ariffin merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia.
Anak jati kelahiran negeri Pahang itu juga merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat beberapa jawatan penting di dalam Pasukan seperti Komandan
Maktab Teknik PDRM Bakri Muar, Johor, Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Timbalan Ketua
Polis Kedah, Ketua
Polis Melaka dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran)
Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Kenangan terindah buat Dato’ Sri Mat Kasim dan turut mencuri perhatian penonton apabila diberi kesempatan mengemudi alunan muzik lagu kegemarannya berjudul ‘Speak Softly Love’ yang dimainkan oleh Pancaragam PDRM diketuai Pengarah Muzik Pancaragam Pusat
PDRM, ASP Mesmoro Edward.
Terdahulu, pada sebelah paginya, berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah JSPT dan Pengerusi PERKEP JSPT di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, PULAPOL Kuala Lumpur.
Dato’ Sri Mat Kasim telah menyerahkan tampuk pimpinan JSPT kepada pemangkunya, Timbalan Pengarah I (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, DCP Dato' Mohd Nasri Omar sementara menunggu pelantikan pengarah yang baharu.
Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSPT itu disaksikan oleh Timbalan KPN yang dimulakan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Dato’ Sri Mat Kasim dengan Dato’ Mohd Nasri disusuli penyerahan tongkat kuasa.
Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP JSPT di antara Datin Sri Hayati Dali dengan pemangkunya, Naib Pengerusi I PERKEP
JSPT, Datin Hamidah Hashim sambil disaksikan oleh Datin Sri Dato' Zalena.
Dato' Sri Ayob Khan dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga apabila Dato' Sri Mat Kasim memainkan peranan penting dalam memastikan JSPT menambahbaik saluran penyelesaian saman PDRM melalui platform atas talian pada Mac 2021 dengan memperkenalkan portal dan aplikasi myBayar PDRM dengan ciri-ciri baharu yang mana ia boleh diakses oleh masyarakat dengan mudah.
“Didoakan semoga, usaha serta inisiatif yang diperkenalkan ini dapat diteruskan, bahkan diperhebatkan lagi oleh peneraju baharu jabatan, selepas ini”, ujarnya.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM bersama isteri, Ketua Polis Selangor, CP Dato' Hussein Omar Khan, barisan Timbalan Pengarah dan Ketua Penolong Pengarah PDRM, pegawai-pegawai kanan serta ahli-ahli PERKEP.
Selamat bersara kepada Dato’ Sri Mat Kasim Karim dan Datin Sri Hayati Dali. Jasamu dikenang.