Putrajaya, 23 November 2023 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay telah memenuhi undangan sebagai salah seorang ahli panel dalam Program “Coffee Talk” sempena sambutan Hari Integriti
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama
Kementerian Kewangan 2023 dan Agensi-Agensi yang diadakan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.
Forum bertajuk “Integriti Dalam Pengurusan Kewangan Agensi” anjuran bersama KWSP dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan Agensi-Agensi itu turut menampilkan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tuan Nazli Rasyid Hj. Sulong, Ketua Pegawai Kewangan KWSP, Tuan Mohamad Hafiz Kassim serta Encik Zubayry Abady Sofian dari
Institut Integriti Malaysia sebagai moderator.
Antara intipati yang ditekankan oleh Dato’ Sri Ayob Khan dalam wadah perbincangan hampir dua jam tadi adalah berkenaan aspek integriti dalam kalangan penjawat awam dengan perlu mematuhi Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 serta penyeliaan perlu dilakukan di setiap peringkat bagi membanteras isu-isu rasuah.
Tambahnya lagi, kepimpinan melalui teladan perlu menjadi asas dan contoh kepada pemimpin dalam pelbagai agensi bagi meningkatkan nilai-nilai integriti selain perlu berani dan tegas untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang serta peraturan demi amanah dan tanggunggajwab yang telah diberikan.
Menurutnya, semua pihak perlu mengambil peluang terbaik demi memastikan polisi dan misi Kerajaan Madani dipatuhi selain dapat memastikan generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.