Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

KPN HADIR MAJLIS SERAH TERIMA KOMPLEKS BAHARU DARIPADA KDN

 
Padang Besar, 4 Disember 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi hadir ke Majlis Penyerahan Projek Meroboh dan Membina Kuarters Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini.

Turut hadir ke majlis tersebut tadi adalah Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan, Kerajaan Negeri Perlis, Tuan Izizam Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (KSU) (Keselamatan) (KDN), Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Timbalan KSU (Pengurusan) KDN, Datuk Dr. Abdul Gapar Hj. Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Rahimi Ismail.

Sesi penyerahan tersebut dimulakan dengan acara menandatangani dokumen serahan daripada kontraktor utama Syarikat Solar Alert Sdn. Bhd. melalui Pengarah Eksekutifnya, Dato’ Hj. Ismail Saleh kepada Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Dato’ Ir. Ibrahim Esa sebelum diserahkan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution yang mewakili PDRM.

Turut berlangsung adalah penyerahan replika bangunan sebagai simbolik penyempurnaan penyerahan sepenuhnya kompleks agensi tersebut kepada KDN yang dipimpin oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution oleh Dato’ Hj. Ismail.

Kompleks AKSEM yang baharu itu merangkumi pelbagai fasiliti seperti Kuarters Kelas D (1 Unit), Kuarters Kelas E (4 Unit) dan Kuarters Kelas F (120 Unit) serta terdapat juga pembinaan bangunan awam seperti surau, koperasi dan kafeteria, dewan serbaguna, tadika serta gelanggang sukan berbumbung telah disediakan bagi menjamin kesejahteraan kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di situ.

Seusai majlis tadi, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Tan Sri Razarudin bersama delegasi meneruskan lawatan kerja ke Pos C26 PGA bagi mendengar taklimat mengenai ‘Proof of Concept’ (POC) Sistem Teknologi Digital Kawalan Sempadan (PINTAR) daripada Pengurus Besar Syarikat Ventura IOT Sdn. Bhd., Encik Anas Firdaus.

Sistem berteknologi digital baharu yang bakal digunakan oleh PGA itu berkeupayaan mengesan segala bentuk pencerobohan yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand serta bertindak mengawasi sempadan negara daripada diceroboh oleh penjenayah dari dalam dan luar negara.

Kesemua delegasi kemudiannya bergerak ke Markas Teknikal PGA Bukit Kayu Hitam bagi menyaksikan demonstrasi penggunaan sistem tersebut bagi menguji ketepatan POC dalam mengesan sebarang aktiviti pencerobohan.

Yang turut memeriahkan majlis, Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Fisol Salleh, Pengerusi Kumpulan Ventura IOT Sdn. Bhd., Dato' Sri Khalid Mohamad Jiwa, Timbalan Ketua Polis Perlis, SAC Baderulhisham Baharuddin, barisan Pegawai Kanan KDN, Pegawai Kanan PDRM, Pegawai JKR, wakil daripada Solar Alert Sdn. Bhd. dan Ventura IOT Sdn. Bhd.

Jurugambar: Polis Perlis

May be an image of 12 people, dais and text

May be an image of 5 people and text

May be an image of 17 people, dais and text

May be an image of 9 people and text

May be an image of 4 people and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS