Kuala Lumpur, 14 Jun 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi telah menyempurnakan Sambutan Hari Kesedaran Autisme Pusat Autisme Pengaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Pengaman, Pusat Latihan Polis (PULAPOL)
Kuala Lumpur.
Berucap di majlis perasmian yang diadakan, Tan Sri Razarudin menegaskan bahawa anak-anak autistik merupakan permata berharga yang dikurniakan dengan kebolehan dan potensi luar biasa. Justeru, beliau menekankan pentingnya sokongan berterusan dalam bentuk pendidikan, intervensi awal dan pembangunan kendiri bagi memastikan mereka dapat berdikari dan menyumbang kepada masyarakat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Autisme Pengaman-PDRM, yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2020, kini menawarkan tiga program utama iaitu ‘Early Intervention Fullday’, ‘Early Intervention Halfday’ dan ‘Program Intensif’. Ketiga-tiga program ini diselaraskan bagi memenuhi keperluan pembelajaran berbeza murid-murid autisme.
“Dengan kekuatan seramai 18 kakitangan, pusat ini berupaya memberi intervensi berkualiti kepada 50 pelajar menerusi pendekatan pembelajaran yang menyeluruh dan pemerkasaan aspek sosial, komunikasi serta kemahiran kendiri,” ujar beliau lagi.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya demonstrasi penculikan oleh
Jabatan Siasatan Jenayah, aktiviti tunggangan kuda bersama kanak-kanak oleh Unit Berkuda,
Pasukan Simpanan Persekutuan serta saringan awal autisme percuma oleh Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Dalam semangat solidariti, Tenaga Nasional Berhad dan Education Malaysia Global Services turut menyumbang masing-masing sebanyak RM10,000 dan RM50,000 bagi menyokong perkembangan pendidikan anak-anak autisme melalui Pusat Autisme Pengaman PDRM.
Turut hadir menyerikan sambutan ialah Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Norian Mai, Timbalan Pengerusi Yayasan merangkap Pengerusi Pusat Autisme Pengaman, Tan Sri Hussin Hj. Ismail, Ketua
Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, DCP Alzafny Ahmad dan barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pengaman Malaysia serta pegawai kanan PDRM.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Nurkhairunisa Ibrahim