Kuala Lumpur, 1 Oktober 2025 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay menerima kunjungan hormat daripada delegasi
Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) di Bilik Perbincangan KPN, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, pagi ini.
Delegasi yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (KP) Atom Malaysia, Puan Monalija Kostor itu bagi membincangkan peranan PDRM dan Atom Malaysia, mengawal selia industri besi lusuh serta pematuhan lesen bahan radioaktif termasuk kawalan sekuriti nuklear dalam acara berskala besar bagi tujuan keselamatan awam dan negara.
Perbincangan turut menekankan kolaborasi kedua-dua pihak dalam bidang latihan kepakaran sekuriti nuklear dan perolehan aset melibatkan Radiation Detection Equipment (RDE) dalam menyokong pembangunan dan keselamatan program kuasa nuklear di Malaysia.
Turut hadir, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Kamaruzaman Abdullah, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran)
Jabatan Pengurusan Bukit Aman, DCP Dato' Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi), Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, DCP Redzuan Abd Hamid, Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Mohd Taufik Toh Abdullah, Timbalan Penolong Pengarah (Wildlife Crime Bureau),
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, SAC Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi dan Ketua Urus Setia KPN (Perundangan) Bukit Aman, SAC Abd Rahman Atan.