Marudi, 10 Februari 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay meneruskan lawatan kerja rasmi ke Balai Polis Bario dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Marudi bagi meninjau tahap kesiapsiagaan anggota, kemudahan logistik serta pelaksanaan operasi keselamatan di kawasan pedalaman negeri Sarawak, semalam.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada komuniti setempat berada pada tahap terbaik, di samping memperkukuh kawalan keselamatan sempadan serta pencegahan aktiviti jenayah rentas sempadan.
Sepanjang lawatan, Tan Sri Ayob Khan turut diberi taklimat oleh Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Nor Aizan Mohd Jamil mengenai situasi keselamatan semasa, cabaran operasi di kawasan pedalaman serta keperluan penambahbaikan dari segi prasarana termasuk kebajikan warga pasukan yang bertugas.
Beliau kemudiannya meneruskan lawatan ke Pos Op Taring Awas Long Banga,
Briged Sarawak,
Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Baram dan telah diberi taklimat oleh Ketua Pos, ASP Mohd Sani Junid mengenai keadaan semasa di kawasan berkenaan.
Beliau juga mengambil kesempatan beramah mesra bersama pegawai dan anggota bertugas sebagai tanda sokongan serta penghargaan terhadap komitmen mereka dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Hadir sama sepanjang program ialah Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am,
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohd Rodhi; Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontinjen
Sarawak, SAC Ku Mashariman Ku Mahmood; serta Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai.