Istilah
datang dan pergi sememangnya sinonim dengan tugas dan tanggungjawab
dalam pasukan PDRM tidak mengira anggota pangkat rendah mahupun pucuk
pimpinan tertinggi dalam PDRM.
Ibarat
patah tumbuh, hilang berganti, apabila tiba masanya, muka-muka lama
akan berundur untuk memberikan ruang kepada muka-muka baru dalam
menggalas dan meneruskan tanggungjawab serta kepercayaan masyarakat
terhadap PDRM.
Namun, perginya seorang individu yang terpenting dalam PDRM ini tetap mengekalkan
esprit de corp yang masih relevan dan berkepentingan kepada masyarakat kita.
Tanggal
14 April 2011, tersemat dalam lipatan sejarah pasukan PDRM dengan
berlangsungnya upacara Paluan Berundur Sempena Persaraan Datuk Hussin
bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara di Dataran Kawad Pulapol
Kuala Lumpur.
Hadir
sama di majlis tersebut, YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua
Polis Negara, YDH Pengarah-pengarah Jabatan PDRM dan isteri, YDH
Pesuruhjaya Polis dan Ketua-ketua Polis Negeri dan isteri,
Pegawai-pegawai kanan dan tetamu jemputan.
Memulakan
perjalanan aturcara pada hari ini, YDH Datuk Hussin bin Ismail bersama
YDH Ketua Polis Negara menyempurnakan pemeriksaan kawalan kehormatan
diselangi dengan bacaan doa dan lintas hormat oleh detachment kawalan
kehormatan.
Persembahan
Pancaragam PDRM pimpinan Supt Alina binti Saad yang juga merupakan
Ketua Pengarah Muzik PDRM seterusnya mengisi slot upacara sehingga
kemuncaknya apabila YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail menjadi konduktor
beberapa buah lagu rasmi PDRM.
Majlis
diserikan lagi dengan bacaan sajak bertajuk 'Jasamu Dalam Kenangan'
daripada ASP Zahari Abu Samah dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
Bukit Aman yang juga merupakan nukilan beliau sendiri.
Selepas upacara
'Beating the Retreat',
upacara menurunkan bendera 'Sang Saka Biru', 3 buah helikopter dari
Unit Udara PDRM jenis Ecureuil AS 355N telah melakukan lintas hormat
yang diketuai oleh juruterbang DSP Norsham Md. Jani, ASP Thiagarajan A/L
Marappan dan ASP Jefri bin Jaafar.
YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail dan Y.Bhg Datin Nur Habibah binti Hatim
bersalaman dengan hadirin yang hadir dan menandatangani Buku Pelawat
buat kali terakhir, sebelum ditarik dengan kenderaan istiadat oleh
Pegawai-pegawai Kanan sehingga ke pintu Balai Pengawal sebagai tanda
penghormatan terakhir.
Perjalanan Kerjaya Datuk Hussin bin Haji Ismail
Dilahirkan
pada 15 April 1953 di Muar, Johor, Datuk Hussin Bin Haji Ismail
memulakan kerjaya dalam pasukan polis sebagai Inspektor Percubaan pada
15 Disember 1971 di Maktab PDRM Kuala Kubu Baru, Selangor.
Setelah tamat latihan, beliau mula bertugas di Cawangan Khas, Bukit Aman sehingga disahkan dalam jawatan pada 15 Disember 1974.
24
Mei 1982, beliau telah dinaikkan ke pangkat ASP dan memegang jawatan
Pegawai Turus E1E2, Bukit Aman sebelum bertukar ke jawatan Ketua
Cawangan Khas Daerah Batu Pahat pada 29 Julai 1984.
Setelah dinaikkan ke pangkat DSP pada 26 Januari 1989, beliau telah diberi kepercayaan menerajui Cawangan Khas Kontinjen Perlis.
Mewarnai
kecemerlangan kariernya, tanggal 26 Mei 1992, beliau telah dilantik
sebagai Security Liaison Officer di Moscow, Russia dan setelah bertugas
selama 30 bulan di Union of Soviet Sovereign Republics (USSR), beliau
telah kembali ke Malaysia untuk memegang jawatan Pegawai Turus E3,
Kontinjen Sarawak dengan pangkat Superitendan pada 30 November 1994.
Pada
16 September 1996, beliau kembali semula ke Bukit Aman sebagai Pegawai
Turus E3C, sebelum mengikuti Kursus Diploma Sains Kepolisan di Maktab
Polis, Kuala Kubu Baru, Selangor bermula 24 Mac 1997.
16
April 1998, beliau telah dinaikkan pangkat ke ACP dan bertugas sebagai
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan selang dua tahun kemudiannya, pada 1
September 2000, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam.
Datuk
Hussin bin Ismail sekali lagi maju ke hadapan apabila dinaikkan ke
pangkat SAC II pada 20 Disember 2002 sebagai Ketua Cawangan Khas
Kontinjen Perak.
Kerjaya
beliau terus cemerlang dengan perlantikan beliau sebagai Ketua Polis
Terengganu pada 13 Ogos 2004 dengan pangkat SAC I dan kemudiannya
dinaikkan ke pangkat DCP sebagai Ketua Polis Johor.
Pada
24 Januari 2008, berdasarkan pengalaman dan profesionalisme beliau,
Datuk Hussin telah diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Jabatan
Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) dengan jawatan
Kommisioner Polis (CP).
Tarikh
14 September 2010 menyaksikan beliau di kemuncak kerjayanya setelah
diberikan mandat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sehingga ke hari
ini.
Kecemerlangan
kerjaya beliau adalah selaras dan bertepatan dengan pengetahuan,
kemahiran dan kebolehan beliau sepanjang 40 tahun perkhidmatan dalam
PDRM.
YDH Datuk
Hussin telah menjalani pelbagai kursus dan seminar sama ada di dalam
atau di luar negara seperti Senior Interogation, Psych-Op/Psych-War
Management, Procurement Tactical Intelligence (PTI), Intelligence
Analysis, Bengkel Perakaunan Hasil, Kepimpinan Dan Pengurusan Utama
(JUSA), International Senior Command Course, Maritime Management by
Japan Coast Guard, International Seminar on Maritime Threat, Seminar on
Disaster Management, Seminar On Chemical Weapon Threat, Seminar CBRN
Threat, Seminar on Terrorist Maritime Threat, Border Management Meeting,
Global Security Asia, Chief Officer Of Joint Training (LATMA) Aman
Malindo PDRM-POLRI.
Beliau
mendirikan rumahtangga dengan Y.Bhg Datin Nurhabibah binti Hatim pada
29 Disember 1978 dan telah dikurniakan tiga orang cahayamata.
Seperti
YDH Datuk Hussin, Datin Nurhabibah juga menumpukan masa dan tenaga
beliau dalam Persatuan Keluarga PDRM (PERKEP) dan beliau merupakan
Timbalan Pengerusi PERKEP Malaysia.
Sesungguhnya sumbangan bakti YDH Datuk Hussin kepada pasukan PDRM adalah tidak ternilai dan selayaknya diberi pengiktirafan 'A Knight To Remember' oleh warga PDRM.
Selamat bersara daripada seluruh warga Polis DiRaja Malaysia!



















Wartawan : Konst Irfan Bujang
Jurufoto : L/Kpl Muhammad Lokmanul Hakim bin S.Nor / Konst. Raymond Martin
Penyunting : C/Insp Norsuzila binti Kamaruldin