PROGRAM PDRM SAFECAM PARTNERSHIP MAMPU KURANGKAN JENAYAH
Kuantan, 18 Sept - Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'Safe
Camera (SafeCam) Partnership' yang dilaksanakan di sini diyakini mampu mengurangkan aktiviti jenayah di bandar ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata program itu juga membolehkan pihak swasta dan orang ramai berkongsi maklumat dengan pasukan polis bagi mencegah dan membanteras jenayah di kawasan tersebut.
"Program ini adalah antara usaha PDRM membanteras kegiatan jenayah dengan penglibatan serta kerjasama pihak swasta dan kerajaan yang memiliki kamera litar tertutup (CCTV)," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) PDRM Safecam Partnership peringkat Kontinjen Pahang 2014 di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani PDRM dengan empat syarikat iaitu Bukit Gambang Resort City, East Cost Mall, Berjaya Megamall dan Kuantan Parade.
Beliau turut menggalakkan agensi lain menyertai program tersebut bagi memudahkan lagi siasatan selain memperoleh bahan bukti, pengecaman muka suspek dan modus operandi penjenayah yang dirakam oleh CCTV.
Sharifuddin berkata jumlah CCTV bagi empat anggota Safecam Partnership setakat ini ialah sebanyak 460 unit, iaitu 180 unit di Bukit Gambang Resort City, Berjaya Megamall (109), East Cost Mall (110) dan Kuantan Parade (61).
Selain itu kata beliau, sebanyak 26 CCTV telah dipasang dan diselenggara pihak berkuasa tempatan di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas di sini, manakala lima unit dipasang di Temerloh. - BERNAMA