Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

TUKAR 24 JAM KALAU MASIH WUJUD JUDI TANPA LESEN


George Town, 30 Okt - Ketua-ketua balai di negeri ini akan ditukarkan 24 jam sekiranya masih wujud kegiatan perjudian tanpa lesen di kawasan mereka, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi. 

Beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada setiap ketua polis daerah dan ketua balai untuk terus menggempur premis mesin judi itu habis-habisan.

"Memang kegiatan mesin judi haram ini sudah tiada sekarang. Tetapi kalau ada juga judi haram tindakan drastik akan diambil dan kami minta masyarakat yang mempunyai maklumat tampil membantu polis," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemakaian pangkat kepada 191 anggotanya di sini hari ini.

Ahad lepas, Abdul Rahim berkata Pulau Pinang bebas daripada aktiviti mesin judi tanpa lesen melainkan premis yang dilesenkan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kewangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis telah mengenal pasti beberapa kumpulan pengawasan komuniti yang menggunakan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika melakukan tugas rutin mereka.

Abdul Rahim berkata satu arahan selaras akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat kepada pertubuhan sukarela yang ditubuh di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti bagi memberi panduan jelas mengenai penggunaan logo dan lambang rasmi polis. 

"Ada dua tiga kumpulan saya ada tengok dalam program baru-baru ini, saya dah buat teguran pada mereka...harap tidak berulang lagi, kami bukan tak perlu bantuan masyarakat tetapi salah tetap salah," katanya.

Beliau berkata kesalahan itu termasuk mempamer lambang atau pelekat berkaitan PDRM pada jaket, uniform serta kenderaan terutama ketika pasukan sukarelawan berkenaan melakukan rondaan dan tugas pengawasan komuniti.

Katanya syarikat yang diberi lesen mencetak logo dan membekalkan peralatan PDRM turut akan dipantau supaya operasi premis berjalan mengikut syarat yang ditetapkan atau lesen mereka akan ditarik. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS