Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

POLIS PULAU PINANG SEDIA 300 ANGGOTA BANTU MANGSA BANJIR


George Town, 29 Dis - Polis Pulau Pinang mempersiapkan 300 anggotanya untuk membantu negeri-negeri yang dilanda bencana banjir sekiranya diminta berbuat demikian.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata berikutan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir khususnya di negeri pantai timur, polis negeri bersedia menghulurkan bantuan bukan sahaja dari segi anggota tetapi juga logistik.

Katanya, polis negeri juga menubuhkan tabung bencana banjir agar bantuan dapat dihulurkan segera kepada mangsa terlibat.

 

"Kami telah bersedia dengan kelengkapan dan anggota-anggota yang terlatih kami dan sekiranya diminta, kami akan menghantar bantuan dengan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata polis Pulau Pinang sedang mengesan kumpulan kedua yang dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan warga Myanmar.

Katanya, polis telah mengenal pasti empat suspek yang masih bebas dan operasi mengesan mereka sedang dijalankan.

"Setakat ini, Pulau Pinang mencatatkan 54 kes bunuh, 18 melibatkan warga Myanmar dengan terbaru berlaku di Seberang Perai Selatan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejadian pembunuhan membabitkan kumpulan warga Myanmar itu tidak melibatkan warga tempatan dan meminta orang ramai agar tidak gusar atau bimbang. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS