Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

POLIS TAHAN DUA LELAKI, RAMPAS DADAH RM150,000

Kuala Lumpur, 19 Jan - Polis Kuala Lumpur berjaya membongkar sebuah stor memproses dadah berikutan rampasan dadah bernilai RM150,00 dan penahanan dua lelaki tempatan di sebuah rumah di Lorong Haji Taib 1, Chow Kit di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata kedua-dua suspek berusia 42 tahun dan 50 tahun itu ditahan dalam Ops Khas sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, pada 10.30 pagi, 14 Jan lepas.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang positif dadah itu disyaki menggunakan rumah itu sebagai stor memproses dadah jenis methamphetamine.

"Hasil pemeriksaan juga menemui satu paket besar dan enam paket kecil plastik lut sinar disyaki dadah jenis Syabu seberat 1,000 gram, 12 tiub straw disyaki dadah Heroin dan beberapa peralatan serta cecair dan serbuk kimia yang digunakan untuk memproses dadah methamphetamine," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula 15 Jan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Tajudin menyaksikan majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kuala Lumpur baharu yang diambil alih oleh SAC Zainuddin Ahmad menggantikan ACP Abdul Razak Abdul Gahfur yang memangku jawatan itu sebelum ini.

Abdul Razak kembali ke jawatan asalnya iaitu sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Kuala Lumpur manakala ACP Mohd Firdaus Abdullah dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur menggantikan Zainuddin. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS