Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

SINDIKET SAMUN TUMPAS DENGAN PENAHANAN 19 RAKYAT INDONESIA

Johor Bharu, 20 Mac - Polis menumpaskan sindiket samun di beberapa daerah di Johor selepas menahan 19 rakyat Indonesia dalam serbuan di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua 16 lelaki dan tiga wanita berkenaan ditahan dalam serbuan pada pukul 1 pagi.

"Polis merampas pelbagai barangan kemas, 128 telefon bimbit, 15 komputer riba, tujuh Ipad, 10 kamera pelbagai jenis, 16 jam tangan dan tiga play station daripada mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata berdasarkan siasatan, kesemua mereka yang aktif dengan jenayah itu sejak awal tahun ini dipercayai turut mencederakan mangsa samun mereka.

Beliau berkata berikutan penahanan kesemua yang berumur 25 hingga 45 tahun itu, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 48 kes samun di bandar raya ini, Kota Tinggi dan Mersing.

Katanya kesemua mereka kini direman sehingga 1 April depan untuk siasatan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai tampil menghubungi polis bagi mengenal pasti barangan yang disamun sekali gus membantu siasatan polis. - BERNAMA



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS