Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS DISAMBUT SEDERHANA NAMUN MERIAH

Kuala Lumpur, 26 Mac – Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208 semalam disambut sederhana namun meriah. 

Sambutan yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur itu mempamerkan kekuatan anggota dan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada orang awam. Reaksi positif dan memberangsangkan diterima daripada penonoton ketika ditemui di sini. Rata-rata mereka teruja dan kagum dengan pertunjukan yang disediakan.

Setiap tahun, Anugerah Integriti akan diberikan kepada pegawai, anggota dan pegawai awam yang mempamerkan rekod perkhidmatan cemerlang. Untuk sambutan pada tahun ini, seramai 15 orang telah menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohamad Najib Tun Haji Abdul Razak.

Buat julung kalinya juga, sambutan Hari Polis ke-208 telah memperkenalkan ahli-ahli Persatuan Komuniti Malaysia kepada penonton selaras dengan usaha PDRM untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat yang bertujuan membantu pihak berkuasa dalam pencegahan jenayah. 

Kemuncak sambutan yang diadakan adalah pertunjukan gimik khas demonstrasi menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang menampilkan gabungan elemen kepolisan oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG), Skuad Anjing Pengesan K9.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dalam ucapan beliau menzahirkan rasa gembira dan bangga di atas pencapaian cemerlang pasukan PDRM sepanjang 208 tahun berkhidmat kepada masyarakat. Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada pasukannya di atas kerjasama yang mantap dalam menjaga dan mengekalkan keamanan negara. 

“Dengan tema pada tahun ini, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, konsep ‘community policing’ dilihat mampu merealisasikan tema yang dipilih.

“Terdapat tiga pendekatan yang digunapakai dalam konsep ini iaitu membudayakan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam mencegah jenayah, menghapuskan peluang melakukan jenayah dan mengurangkan persepsi negatif masyarakat terhadap isu keselamatan negara,” tambah beliau.

“Selain itu, PDRM akan memperkukuhkan lagi program dan inisiatif untuk mengurangkan kadar jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) seperti High Profile Policing, Stop and Talk, Meet and Greet, Rakan Cop dan Go To Safety Point,” jelas beliau lagi.

Sebelum mengakhiri ucapan, Tan Sri Dato’ Sri Khalid menjelaskan kejayaan agenda pencegahan jenayah bergantung kepada komitmen yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak dan kerjasama antara polis dan masyarakat perlulah berada di tahap yang terbaik.

Sambutan Hari Polis Ke-208 telah mendapat liputan secara langsung melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3 selain media sosial rasmi PDRM, Facebook, Twitter dan Instagram.











PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS