Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

DATO' AWANG SAHARI DILANTIK TIMBALAN PESURUHJAYA POLIS SABAH

Kota Kinabalu, 28 April - Timbalan Pengarah Pelucuthakan, Harta, Perundangan dan Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Dato' Awang Sahari EM Nadzeer dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Awang Sahari menggantikan Datuk Abdul Malek Harun yang bersara wajib.

Majlis terima dan serah tugas antara beliau dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Dato' Sallehhudin Abd Rahman yang sebelum ini memangku jawatan itu berlangsung di sini hari ini yang disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Dato' Jalaluddin Abdul Rahman.

Awang Sahari, 59, telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 37 tahun dan mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam cawangan khas serta tujuh tahun dalam bidang jenayah perdagangan.

Beliau yang berasal dari Kampung Brunei, Membakut pernah menjadi Ketua Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Sabah.

Pada majlis itu, bekas Ketua Cawangan Khas 1 (Operasi) Sarawak Dato' Clarence Rorote Ak Sagon turut mengambil alih tugas sebagai Ketua Cawangan Khas Sabah yang baharu daripada Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 ACP Md Zainal Rahmat yang sebelum ini memangku jawatan itu.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS