Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

POLIS TUMPAS 'KUMPULAN CAPANG', SELESAI LIMA KES SAMUN KEDAI EMAS


Kuala Lumpur, 29 April - Polis berjaya menumpaskan geng samun kedai emas dan pembekal emas dikenali sebagai 'Kumpulan Capang' berikutan penahanan lapan anggotanya termasuk ketua kumpulan dan teman wanitanya.

Kumpulan yang diketuai seorang lelaki dikenali 'Capang' dipercayai terbabit dalam lima kes samun kedai emas dan beberapa kes ragut di sekitar Ibu Kota dan Selangor sejak tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad berkata kesemua mereka ditahan dalam satu operasi khas yang bermula 6.30 petang semalam hingga 4.30 pagi tadi, di sekitar Jalan Imbi, Jalan Ampang dan Bandar Tasik Permaisuri, di sini.

Beliau berkata polis juga merampas 11 jongkong emas dipercayai hasil rompakan kumpulan itu di sebuah kedai emas di Serdang di sini, Disember tahun lepas melibatkan kerugian RM1.7 juta.

"Dalam operasi itu juga, polis merampas sebahagian besar barang-barang kemas dipercayai disamun dari sebuah kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 10 April lepas. Bagaimanapun, barang kemas itu telah dilebur," katanya di sini, hari ini.

Semasa kejadian 10 April lepas, dalam tempoh kurang daripada lima minit, sebuah kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini mengalami kerugian kira-kira RM300,000 selepas disamun lapan lelaki bersenjatakan pistol dan parang.

Zainuddin berkata, kesemua mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 30 tahun itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap dan enam lelaki yang ditahan itu mempunyai antara satu dan lima rekod jenayah lampau berkaitan kes samun.

"Dua motosikal berkuasa tinggi dan dua kereta turut dirampas, dipercayai dibeli dari hasil wang rompakan," katanya.

"Polis masih memburu empat hingga enam lagi anggota kumpulan berkenaan yang masih bebas," katanya sambil menambah kesemua mereka ditahan reman sehingga 2 Mei untuk membantu siasatan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS