Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PEGAWAI PDRM AKAN KE THAILAND SOAL SIASAT SUSPEK PEMERDAGANGAN MANUSIA

Kuala Lumpur, 23 Jun- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar beberapa lagi pegawai untuk menyoal siasat suspek kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis yang ditahan pihak berkuasa Thailand di negara berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata buat masa ini perkara itu sedang dirunding dengan pihak berkuasa Thailand.

"Yang dah dihantar pun ada...ramai tangkapan yang dibuat oleh Thailand jadi kami sedang rancang satu persatu," katanya pada sidang media selepas melancarkan filem 'Bukit Kepong' versi digital definisi tinggi di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan setakat ini belum ada tangkapan suspek oleh pihak berkuasa Thailand yang diserahkan kepada PDRM.

"Mereka pun belum selesai lagi siasatan di sebelah sana...kami pun tak nak ganggu perancangan pihak Thailand. Jadi kami kena bincang dengan mereka," katanya.

Khalid bagaimanapun tidak memaklumkan berapa ramai suspek rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand.

Pada akhir Mei lepas, negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

Setakat ini, 106 mayat telah dijumpai.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata tiga orang dipercayai warga Rohingya ditahan di Johor Baharu bagi membantu siasatan penemuan kem tahanan di Wang Kelian itu.

"Kami percaya ini antara mangsa yang pernah ditahan di kem itu, mereka sedang disiasat, kami juga tak sabar untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di kem itu, bagi kami sedikit masa," katanya.

Ditanya sama ada wujud elemen seksaan atau pembunuhan hasil post-mortem mayat yang dikeluarkan dari kubur di kem tahanan berkenaan, Khalid berkata ia masih terlalu awal untuk dibuat kesimpulan.

"Buat masa ini post-mortem masih diteruskan. Kami hanya menemui satu (rangka mayat) yang tulang rusuknya patah. Itu pun kami tak tahu sama ada dia jatuh atau didera," katanya.

Ditanya sama ada wujud penemuan terbaharu kubur mangsa pemerdagangan manusia seperti mana ditemukan di Wang Kelian, beliau berkata tidak ada kubur baharu kecuali yang telah beliau umumkan.

"Kami telah selesai membuat pemeriksaan di kawasan sempadan. Saya percaya tentera juga telah melaksanakan tugas mereka, dan tiada laporan mengenai penemuan terbaharu," katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS