Kangar, 18 Sept- Tempoh tahanan reman tiga lelaki dan seorang wanita dilanjutkan seminggu lagi bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki berhampiran Sungai Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis pada 11 Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata suspek lelaki berusia 23 hingga 26 tahun dan seorang wanita berumur 21 tahun itu yang berasal dari Kuala Sanglang, Perlis, sebelum ini direman seminggu.
Katanya mereka direman sehingga 25 Sept ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Keempat-empat suspek ditahan pada hari sama selepas mayat lelaki tersebut ditemui dengan tangan terikat.
Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah mengeluarkan perintah reman itu hari ini, kata Abdul Rahman.
Katanya kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu hadapan sebelum suspek dituduh di mahkamah atas dakwaan membunuh.- BERNAMA