Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PPM SEMPORNA TAHAN TUJUH PATI DI PERAIRAN NUSA KUYAK

Semporna, 26 Sept- Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan tujuh individu termasuk dua kanak-kanak berumur antara satu dan 48 tahun, selepas didapati tidak memiliki dokumen diri yang sah, petang semalam.

Komander PPM Wilayah Sabah, ACP Mohamad Madun berkata kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) berkenaan ditahan dalam dua operasi berasingan di kawasan perairan Nusa Kuyak antara pukul 4.30 hingga 4.45 petang.

Dalam operasi pertama, seorang lelaki yang juga juragan bot ditahan di kawasan perairan Nusa Kuyak selepas didapati tidak memikili dokumen pengenalan diri.

Selain ditahan di atas kesalahan imigresen, lelaki berkenaan juga disiasat mengikut Akta Farmasi selepas polis menemui satu kotak produk kosmetik berisi 432 botol deodoran pemutih bernilai RM1,296 tanpa dokumen di dalam bot laju yang dikemudinya.

Menurut Mohamad, dalam operasi kedua anggota PPM menahan enam lagi PATI, termasuk dua kanak-kanak, di atas sebuah bot di kawasan perairan yang sama selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, PPM Semporna juga menahan seorang lelaki tempatan di kawasan perairan sama dan merampas 20kg ikan pelbagai jenis bernilai RM100 yang diakui lelaki itu ditangkap menggunakan bahan letupan.-BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS