Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

POLIS MELAKA RAMPAS PELBAGAI DADAH BERNILAI RM136,000

Melaka, 26 Okt- Polis Melaka menahan dua lelaki tempatan serta seorang wanita warga asing dan merampas pelbagai dadah jenis bernilai kira-kira RM136,000 di Taman Melaka Raya di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata lelaki berusia 28 dan 50 tahun itu serta wanita yang dipercayai warga Vietnam berusia 27 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan kira-kira 12 tengah malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai ketamin dengan anggaran berat kira-kira lima kilogram; heroin kira-kira 500 gram; pil eramin 5 kira-kira 100 biji; dan 82 biji pil estacy.

"Polis menemui sebahagian daripada dadah berkenaan bersama mereka manakala siasatan lanjut membawa penemuan sebahagian lagi dadah di dalam sebuah lagi kereta di Tengkera di sini kira-kira 1.30 pagi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya pemeriksaan dilakukan atas maklumat dan risikan awam yang mana ketika ditahan mereka dipercayai mengedar dadah berkenaan dengan menaiki sebuah kereta.

Shaikh Abdul Adzis berkata siasatan awal mendapati dadah berkenaan untuk pasaran kelab hiburan di sekitar Taman Melaka Raya dan sindiket berkenaan dipercayai telah aktif beroperasi kira-kira empat bulan lepas.

Katanya dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari luar negeri ini dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menjejaki rangkaian sindiket berkenaan.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki berusia 28 tahun itu mempunyai lebih daripada dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah melibatkan kes di Johor Bahru, Johor dan Melaka sejak 2012.

Katanya kedua-dua lelaki yang berasal dari Johor Bahru itu serta wanita berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS