Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

MAYAT JURUKUR MATI LEMAS DITEMUI

Ipoh, 25 Nov- Mayat lelaki yang dipercayai lemas ketika sedang bertugas menyukat keluasan sungai di Sungai Sungkai, Kampung Rahmat Changkat Sulaiman, dekat Sungkai Isnin lepas, ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata mayat Muhamad Syafiq Din Reduwan, 20, ditemui pasukan mencari dan menyelamat di lokasi kejadian pada kira-kira 11.05 pagi tadi.

"Mangsa yang berasal dari Pulau Keladi, Pahang dan bekerja sebagai jurukur syarikat swasta itu dipercayai lemas akibat dihanyutkan arus deras ketika hendak menyeberangi sungai itu.

"Mayat ditemui pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi kejadian dalam keadaan tenggelam timbul," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Mohd Azlan Mahiyidin berkata kerja mencari dan menyelamat itu membabitkan 41 anggota pelbagai agensi selain penggunaan tiga bot bomba.

"Kita turut menerima bantuan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Ipoh dan Unit Anjing Pengesan (K9) termasuk sukarelawan skuad Barisan Nasional," katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS