Johor Baharu, 28 Jan - Satu lagi mayat lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditemui terdampar di pantai Tanjung Balau/Sungai Tengah, Kota Tinggi, pagi ini.
Penemuan mayat itu menjadikan keseluruhan mangsa lemas di perairan Tanjung Kelisa, Kota Tinggi, yang ditemukan adalah seramai 23 sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata mayat tersebut ditemukan anggota tentera kira-kira 7 pagi tadi, kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian dan tiga kilometer menghala pantai Tanjung Balau.
"Mayat itu dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk dokumentasi dan akan dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan.
Rahmat berkata operasi mencari dan menyelamat kini masih lagi diteruskan dengan melibatkan dua pegawai dan 18 anggota Pasukan Polis Marin serta lima anggota dari Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi.
Dalam kejadian dua hari lepas, kesemua mangsa yang menaiki bot pancung dipercayai dari Batam, Indonesia itu dipercayai merancang untuk memasuki negara ini secara tidak sah.
Bot dinaiki lebih kurang 40 orang itu dikatakan terbalik akibat dipukul ombak dan angin kencang menyebabkan kesemuanya terjatuh ke dalam laut.
Selain satu mayat yang ditemukan hari ini, 13 yang lain sudah ditemui terdampar dua hari lepas manakala sembilan lagi dijumpai semalam.
- BERNAMA