Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

MEDIA SOSIAL ANCAMAN BAHARU KEPADA KESELAMATAN NEGARA

Oleh : Kpl Edwind Indo & L/Kpl Irfan Bujang

Kuala Lumpur, 24 Mac – Kepesatan perkembangan teknologi dan kemudahan internet telah membuka ruang kepada satu ancaman baharu kepada keselamatan negara. Perkara tersebut antara isu dibincangkan dalam Majlis Persidangan bersama Pesuruhjaya Polis, Ketua-Ketua Polis Negeri, Komander dan Komandan seluruh malaysia yang berlangsung di Maktab PDRM Cheras, pagi tadi.

Melihat ancaman serangan semantik itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memfokuskan jenayah itu di dalam salah satu 3 tonggak utama, iaitu ‘mengawal serta mengekang jenayah dan ancaman media sosial melalui pencegahan dan penyiasatan berkesan’.

“Media sosial kini semakin berleluasa dan seringkali dikesan mengandungi unsur-unsur hasutan yang amat berbahaya apabila ia menyentuh isu-isu sensitif seperti isu perkauman, isu keagamaan termasuk institusi raja”, ujar Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim mewakili Ketua Polis Negara.

Tambah beliau lagi, sebahagian pengguna media sosial dilihat tidak dapat membezakan antara hak kebebasan bersuara, amalan demokrasi dan kesalahan jenayah siber sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Selain daripada itu, PDRM turut memfokuskan memperkasa penyampaian perkhidmatan ke arah kepolisan moden serta pemantapan integriti dan pematuhan standard warganya dalam hala tuju bagi tahun ini.

“Ketiga-tiga perkara ini amat perlu diberi perhatian oleh setiap barisan pemimpin kerana ianya mencakupi ruang misi kita ‘Memberi Perkhidmatan Profesional dan Berkualiti dalam Melindungi Negara Bagi Menjamin Masyarakat Selamat, Aman Dan Sejahtera’ dan mencapai visi sebagai ‘Peneraju Bagi Mengekalkan Malaysia Selamat, Aman Dan Sejahtera’ “, tambahnya lagi.

Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan PERKEP Malaysia ke-44. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar di hadapan lebih 300 wakil PERKEP seluruh malaysia.

Turut hadir ialah Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM, Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Dato’ Imran Ibrahim, Timbalan Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Sri Shahriza Saad @ Mansor, Pegawai Kanan Polis dan warga PERKEP Malaysia.

_MG_6772
Sekitar Majlis Persidangan bersama Pesuruhjaya Polis, Ketua-Ketua Polis Negeri, Komander dan Komandan yang berlangsung di Maktab PDRM Cheras, pagi tadi

_MG_9403
Sekitar Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan PERKEP Malaysia ke-44

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS