Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

LELAKI DISYAKI PENGEDAR DADAH DITAHAN DI ALOR SETAR - POLIS

Alor Setar, 31 Mac- Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah kerana memiliki dadah dipercayai heroin bernilai RM22,000 dan syabu bernilai RM9,000, dalam sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Anak Bukit awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Rohana Omar berkata suspek berumur 33 tahun itu memperkenalkan diri sebagai polis ketika pemeriksaan dalam sekatan jalan raya itu pada kira-kira 1.25 pagi.

"Anggota polis yang meragui suspek telah menjalankan pemeriksaan terhadap diri suspek dan di dalam kereta dan telah menjumpai sebuah beg hitam di tempat letak kaki bahagian penumpang hadapan.

"Di dalam beg hitam tersebut, terdapat sebuah beg plastik putih dan biru yang mana di dalamnya terdapat 11 paket lut sinar mengandungi 888.23 gram heroin dan lima paket lut sinar mengandungi 102.28 gram syabu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hari ini.

Polis turut merampas dua alat penimbang dan tiga telefon bimbit daripada suspek, katanya.

Rohana berkata suspek yang berasal dari Jitra dan berniaga sendiri itu dipercayai pengedar dadah di kawasan sekitar Jitra dan Alor Setar dan hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah lain.

Suspek ditahan reman sehingga 5 April ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya.-BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS