Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

27 WARGA ASING DITAHAN


George Town, 25 Jun - Sebanyak 27 warga asing daripada pelbagai negara ditahan dalam Op Rantau yang dijalankan di sekitar daerah Timur Laut, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam operasi bermula 10 malam itu, polis menjalankan pemeriksaan di empat lokasi iaitu Jalan Perak, Pasar Kuantan Road, rumah kongsi di Jalan Straits Quay dan rumah tumpangan di Jalan Penang, di sini.

"Dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen Pulau Pinang dan Jabatan Pendaftaran Negara itu, ada beberapa warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami bagaimanapun gagal kerana kawasan berkenaan telah dikepung terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 157 warga asing dari pelbagai negara diperiksa dalam operasi itu dan 27 daripada mereka ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan sosial.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan lima wanita warga Myanmar, empat lelaki Bangladesh, tiga lelaki Nepal dan seorang wanita Indonesia.

Mior Faridalathrash berkata semua mereka yang berusia 18 hingga 46 tahun itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS