Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PATUHI PERATURAN PENGGUNAAN MERCUN, BUNGA API - KOMANDER ESSCOM

Lahad Datu, 29 Ogos 2016 - Semua pihak di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diminta agar mematuhi segala peraturan berhubung penggunaan bunga api dan mercun pada malam ambang sambutan Hari Kebangsaan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata pematuhan peraturan pembakaran dan tembakan bunga api berkenaan penting bagi mengelak sebarang kekeliruan oleh pihak pasukan keselamatan di Esszone.

"Pihak Esscom menyarankan agar semua badan kerajaan, badan bukan kerajaan, syarikat swasta, pusat peranginan, resort dan orang perseorangan yang berada di kawsan Esszone supaya mematuhi peraturan sedia ada bagi tujuan memelihara ketenteraman dan keselamatan kawasan Esszone," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya pihak yang mendapat kelulusan bertulis untuk menggunakan letupan bunga api/mercun perlu memaklumkan Ibu Pejabat Polis di daerah berkenaan, Pos Kawalan Keselamatan Hadapan iaitu Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung penggunaan bahan itu kelak.

Menurutnya pihak yang diberi kelulusan bertulis itu perlu memaklumkan mengenai tarikh, masa dan lokasi penggunaan mercun dan bunga api berkenaan kepada IPD, Pos PGA dan ATM.

"Ini bertujuan bagi menjamin ketenteraman dan keselamatan di samping mengelak kekeliruan kepada Pasukan Keselmatan Hadapan (Pos-Pos PGA dan ATM) yang dicetuskan oleh letupan bunga api atau mercun," katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS