Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

HARI POLIS KE-210: MENJUNJUNG KASIH WARGA PDRM BUAT YANG DI-PERTUAN AGONG XV

Kuala Lumpur, 26 Mac 2017 - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Diraja sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-210 bertempat di Grand Ballroom, Menara Felda Platinum Park, dekat sini, malam tadi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 8.45 malam itu, disambut dengan penuh hormat dan takzimnya oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya, Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim.

Majlis yang penuh adat istiadat kepolisan ini bertujuan untuk menzahirkan sembah ucapan menjunjung kasih daripada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Seri Paduka Baginda selaku Ketua Negara yang memayungi PDRM selain memperkukuhkan lagi adat serta budaya Malam Mess PDRM sebagai satu acara wajib dalam jadual sambutan Hari Polis ke-210.

Seramai 160 pegawai pelbagai pangkat dari 10 buah jabatan, 14 kontinjen PDRM dan tetamu jemputan luar terlibat dalam majlis santapan ini serta pembawa panji utama PDRM pada malam ini adalah Inspektor Muhammad Syafiq Rosli dari Cawangan Khas.

Ketua Polis Negara di dalam ucapan, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan dirgahayu kepada Seri Paduka Baginda serta melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi warga PDRM untuk melindungi negara yang dicintai Malaysia.

"Pada malam yang berbahagia ini, patik serta sekalian warga PDRM ingin menzahirkan sumpah setia kami, untuk terus memperteguhkan ketaatan dan kesetiaan kepada Raja dan Kerajaan Pemerintah.

Penganugerahan gelaran 'DiRaja' kepada pasukan polis oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 1958, akan kami jadikan azimat dalam mempertahankan negara dan tanah air yang tercinta ini, meskipun nyawa yang menjadi taruhan." ujar Tan Sri Khalid.

Terdahulu di bilik menunggu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima cendera kenangan dari seluruh warga PDRM yang disampaikan oleh Tan Sri Khalid bersama seluruh pucuk kepimpinan PDRM.

Turut hadir dalam majlis santapan tadi Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali, Kepala Kepolisian Republik Indonesia (KAPOLRI), Drs. M. Tito Karnavian. Ketua-ketua Polis negara ASEAN, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato' Sri Alwi Haji Ibrahim dan isteri kepada Ketua Polis Negara merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Dato' Imran Ibrahim.

_MG_9216
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V ketika acara Memotong Pulut Kuning sempena Peringatan Hari Polis ke-210.

IMG_7159Panji utama Polis Diraja Malaysia diarak masuk.

IMG_7116
Sekitar Majlis Santapan Diraja sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-210

_MG_9195
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar ketika menyampai ucapan.



IMG_6940
Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia bersama isteri bergambar kenangan.

IMG_6983
Pengarah JSJN bersama isteri.

IMG_7011
Pengarah Pengurusan bersama isteri.

_MG_9240
Pengarah JSJ bergambar kenangan bersama isteri tercinta.

IMG_7008
Mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar bersama Mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin turut hadir.

IMG_6958
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) bersama isteri.

_MG_9155
Antara persembahan pada Majlis Santapan Diraja sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-210.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS