Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

TOKAN DADAH TUMPAS DENGAN POLIS JEMPOL

Jempol, 27 Mac 2017 - Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah ini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Jempol dan anggota dari Balai Polis Ladang Geddes sewaktu melaksanakan Ops Tapis di sekitar Felda Palong 7 dekat sini pada pukul 4.35 pagi.

"Sepasukan anggota BSJND dan anggota dari Balai Polis Ladang Geddes ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan duduk di atas motosikal jenis Yamaha 15ZR di kawasan lapang hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Palong 7 (F).

"Suspek bertindak melarikan diri sebaik anggota polis menghampirinya. Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya dicekup setelah berlaku pergelutan," katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy memaklumkan, pemeriksaan polis ke atas sebuah beg disyaki milik suspek menemui lima bungkus plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 9.14 gram (g) dan satu bungkus plastik disyaki syabu seberat 1.58g serta sebuah alat timbang digital.

Kata beliau, ujian saringan awal polis mendapati suspek positif opiate dan memiliki beberapa rekod jenayah berkaitan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Sumber: Kosmo Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS