Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

POLIS TAHAN LELAKI MENCURI DALAM MASJID DI IPOH

Ipoh, 28 Mac 2017 - Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun petang semalam kerana dipercayai mencuri beg tangan seorang wanita di sebuah masjid, di Meru, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata, berdasarkan hasil siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan, suspek berjaya ditahan di perkarangan masjid kira-kira 2.15 petang semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira 9.21 pagi Sabtu lalu, seorang suri rumah berusia 61 tahun kehilangan beg tangannya ketika masuk ke bilik air masjid tersebut.

"Mangsa meninggalkan beg tangannya di luar kawasan bilik air dan mendapati beg tangan yang mengandungi kad pengenalan, telefon bimbit dan wang tunai telah hilang sejurus keluar dari bilik air," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sum berkata polis turut merampas sebuah motosikal, sepucuk pistol angin jenama Colt, beg silang berwarna hitam serta empat dompet pelbagai warna.

Beliau berkata suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan perintah buang daerah (PCO).

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS