Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

KES DERA AMAH: ROZITA DIPENJARA LAPAN TAHUN

Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Rozita Mohamad Ali, 44, yang mengaku bersalah mencederakan pembantu rumahnya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah membuat keputusan terhadap suri rumah itu yang juga responden selepas mengenepikan hukuman dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula hari ini dan permohonan penangguhan pelaksanaan turut ditolak mahkamah.

Sebelum ini, Rozita dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun, selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, 15 Mac lalu.

Namun, permohonan semakan semula hukuman dibuat Jabatan Peguam Negara terhadapnya.

Ketika ditanya pemberita sebelum prosiding bermula, wanita itu mengesahkan dia tidak mempunyai sebarang gelaran termasuk Datin seperti dilaporkan media sebelum ini.

Prosiding kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad, manakala responden diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Sebelum ini, pada 21 Mac lalu, Rozita gagal hadir ke mahkamah dan pihak pendakwaan diberi tempoh selama seminggu untuk mencarinya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS