Kota Bharu, 18 Jun 2018 – Tiga lelaki termasuk dua beradik mengambil kesempatan melakukan jenayah samun dalam tempoh sembilan jam ketika ramai yang masih lagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 33 tahun itu memulakan kegiatan jenayah mereka dengan menyamun sebuah kereta Perodua Alza warna putih milik seorang wanita berusia 26 tahun.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kesemua suspek bertindak licik apabila melupuskan barang jenayah.
“Sebaik menghalang kereta wanita itu dengan Proton Saga merah, suspek keluar bersenjatakan sebilah pedang samurai menyamun Perodua Alza berkenaan dan melarikan barang mangsa.
“Ada bertindak sebagai penyamun dan peragut. Manakala, modus operandi mereka adalah dengan menyembunyikan kenderaan dan melupuskan barang jenayah.
“Geng itu digelarkan Kumpulan Saga Merah kerana melakukan jenayah dengan menggunakan sebuah kereta Proton,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kelantan di sini, hari ini.
Sumber : Utusan Online