Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

HARI KEBANGSAAN 2018: 133 PELAJAR BERMALAM DI MUZIUM PDRM

Kuala Lumpur, 31 Ogos 2018 – Program Bermalam di Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) kembali lagi dengan rekod penyertaan 133 pelajar sekolah sekitar Lembah Kelang bersempena Hari Kebangsaan yang disambut hari ini.

Program selama dua hari anjuran Muzium PDRM itu telah diadakan sebagai menyahut inisiatif Jabatan Muzium Negara yang bertujuan untuk mendidik dan membentuk generasi muda agar lebih berpengetahuan serta menghargai khazanah negara.

Menurut Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan dan Rekreasi) Bukit Aman, ACP Sukri Kaman, Muzium PDRM dilihat mampu membentuk jiwa patriotik generasi muda agar lebih dekat kepada sejarah, budaya dan warisan negara yang mungkin telah dilupakan oleh sesetengah pihak.

“Nilai sebuah kemerdekaan, kebebasan dan keamanan yang dikecapi kini tidak datang bergolek, ianya adalah hasil jerit perih orang yang terdahulu dari kita.

“Oleh demikian, didiklah jiwa menjadi warganegara yang patriotik, kental dan berdaya saing serta sanggup menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air tercinta,” ujar beliau dalam Majlis Penutupan Program Bermalam di Muzium 2018, tadi.

Terdahulu, para pelajar yang mengambil bahagian telah diaturkan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung. Antaranya, sesi pembentangan kumpulan, aktiviti lumba @ muzium, sesi bual bicara bersama bekas-bekas pejuang PDRM yang pernah menawan komunis, ‘countdown’ merdeka dan banyak lagi.

Jelas nyata aktiviti singkat anjuran PDRM ini mampu memberi kepuasan yang mendalam tentang erti kemerdekaan dan menyemai semangat patriotisme yang tinggi dalam diri setiap pelajar yang hadir.

Turut hadir memeriahkan program, Pengarah Muzium PDRM, Superintendan Selamat Sainayune, para pegawai dan anggota bertugas di Muzium PDRM, barisan guru penyelaras di sekitar Lembah Klang.

IMG_0500
'Countdown' Merdeka.

IMG_0443
Bergambar kenangan.

IMG_0180
Sekitar aktiviti 'Lumba @ Muzium' berlangsung.

IMG_0034
Sekitar aktiviti pembentangan kumpulan.

IMG_0415
Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan dan Rekreasi) Bukit Aman, ACP Sukri Kaman menyampaikan hadiah kepada pemenang.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS