Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

HARI KEBANGSAAN 2018: KONTINJEN PDRM SEMARAKKAN TEMA

Putrajaya, 31 Ogos 2018 - Seramai 2,200 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada lima detachment melibatkan individu perseorangan, haiwan dalam perkhidmatan serta aset pasukan telah mewarnai perarakan dan lintas hormat Hari Kebangsaan 2018 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, hari ini.

Dengan tema “Sayangi Malaysiaku”, detachment PDRM yang diketuai Superitendan Mohd Khairiel Mohd Arif kelihatan segak dan penuh bangga membawa nama harum pasukan melintas hormat di hadapan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dan para pembesar negara.

Antara detachment PDRM yang mengambil bahagian adalah pembawa 100 bendera Jalur Gemilang dan Sang Saka Biru, pakaian seragam pasukan dari tahun 1948 sehingga terkini, Unit Polis Pelancong, Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta para pesara PDRM.

Tidak ketinggalan, detachment Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), unit elit 69 Komando dan Unit Tindakhas (UTK), Unit Berkuda serta Unit Anjing Pengesan K9.

Kehangatan dan kemeriahan sambutan pada tahun ini bermula seawal jam 7.00 pagi tadi dengan catatan rekod pengunjung yang hadir dianggarkan seramai 30,000 orang.

Seperti kelaziman, warga PDRM adalah yang terawal berada di lokasi sambutan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik berada pada tahap yang paling tinggi serta terbaik.

Terdahulu, warga PDRM turut menjadi perhatian netizen dan masyarakat Malaysia di dalam media sosial sejak 20 Ogos lalu apabila projek khas Hari Kebangsaan 2018 mereka iaitu #PDRMMerdekaChallenge berjaya mencuri perhatian.

Objektif bagi inisiatif Urus Setia Ketua Polis Negara(KPN) (Komunikasi Korporat) Bukit Aman ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada warga PDRM untuk menzahirkan rasa cinta dan semangat patriotik mereka kepada negara.

Yang turut hadir dalam majlis sambutan tadi, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, barisan jemaah Menteri Kabinet, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dan warga PDRM.

0S7A3085
Sekitar sambutan perarakan dan lintas hormat Hari Kebangsaan 2018 yang berlangsung di Dataran Putrajaya.

0S4A1115
Sekitar sambutan perarakan dan lintas hormat Hari Kebangsaan 2018 yang berlangsung di Dataran Putrajaya.

0R9A1433
Sekitar sambutan perarakan dan lintas hormat Hari Kebangsaan 2018 yang berlangsung di Dataran Putrajaya.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS