Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

POLIS BURU ZUL BUNTAL

Polis memburu lelaki dikenali Zul Buntal, disyaki suspek yang menikam Lans Koperal polis menggunakan pisau rambo, Selasa lalu.

Zul Buntal atau nama sebenarnya, Zulkifli Juhari, 37, dari Felda Kerteh 3 mencederakan mangsa hingga menerima tiga jahitan di kaki kanan dalam kejadian di hadapan sebuah kedai jahit di Kerteh 3, Ketengah Jaya.

Dia dikehendaki untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 4.30 petang ketika mangsa berusia 20-an yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bersama dua rakan melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Kerteh 2 dan 3, Ketengah Jaya.

Beliau berkata, anggota kemudian menerima maklumat mengenai kehadiran suspek yang terbabit dalam kes kecurian motosikal di Dungun, di hadapan sebuah kedai jahit di lokasi terbabit.

“Sebaik tiba, anggota memperkenalkan diri sebelum membuat pemeriksaan terhadap suspek, namun dia tiba-tiba mengeluarkan pisau rambo dan cuba menikam perut mangsa tetapi sempat ditepis.

“Berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek bertindak menikam kaki kanan mangsa dan cuba menyerang seorang lagi anggota.

“Bagaimanapun, anggota terbabit berjaya menepis serangan itu dan suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran,” katanya ketika dihubungi di Dungun, hari ini.

Baharudin berkata, kejadian menyebabkan mangsa luka pada siku kanan dan calar di belakang badan serta menerima tiga jahitan pada kaki kanan, mendapatkan rawatan di Klinik Ketengah Jaya kira-kira jam 5 petang.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut. - HARIAN METRO ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS