Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PERTANDINGAN IPSC PIALA KPN DAN TERBUKA PDRM 2018 DISAMBUT MERIAH DALAM HUT 69 KOMANDO

Ipoh, 29 Oktober 2018 - Setelah empat hari bunyi ledakan peluru ke sasaran, Pertandingan Menembak International Practical Shooting Confederation (IPSC) Piala Ketua Polis Negara (KPN) dan Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan edisi tahun 2018 di Kompleks Tempur Jarak Dekat (CQB), 69 Komando, Ulu Kinta, dekat sini, petang semalam.

Kehangatan acara kemuncak pertandingan pada kali ini sudah dirasai apabila tuan rumah 69 Komando mara dengan penuh bergaya mengenepikan pasukan menembak dari Kontinjen Johor yang menjadi Naib Johan dan ‘lawan’ tradisinya, Unit Tindakhas (UTK) di tempat ketiga serta 33 pasukan lain yang mengambil bahagian.

Turut tidak ketinggalan memberikan saingan hebat adalah beberapa jabatan dan persatuan menembak luar seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kelab Menembak Pahang, Skyhawk Standard Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), NAVY Standard dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Lebih manis lagi, pertandingan tahun ini diadakan bersekali pada Hari Ulang Tahun (HUT) 69 Komando PDRM ke-49 yang dihadiri oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun selaku Yang Dipertua Majlis Sukan PDRM.

Berucap dalam majlis perasmian penutupan semalam, Tan Sri Mohamad Fuzi melahirkan penghargaannya kepada tuan rumah 69 Komando dan Majlis Sukan PDRM atas penganjuran pertandingan serta memuji semangat setia kawan dan kesukanan yang tinggi ditunjukkan oleh semua peserta yang menyertai kejohanan pada tahun ini.

Kesemua para peserta yang bertanding termasuk para pemenang pada tahun ini telah dianugerahkan Sijil Penyertaan serta trofi penyertaan.

Terdahulu, orang ramai yang hadir memenuhi setiap ruang penonton telah dikejutkan dengan bunyi letupan demi letupan bom dan melihat sendiri ketangkasan 69 Komando melakukan pelbagai demonstrasi lasak yang penuh mendebarkan.

Dalam majlis bersejarah itu juga, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani telah dianugerahkan ‘sand beret’ kebanggaan 69 Komando dan disematkan lencana kehormat penerjunan oleh Komander 69 Komando merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, SAC Dato’ Fisol Salleh di hadapan  Tan Sri Mohamad Fuzi.

Turut dianugerahkan lencana kehormat penerjunan kepada beberapa Pengarah PDRM. Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, CP Dato’ Sri Asri Yusoff mendahului senarai diikuti Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato’ Sri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, CP Dato’ Zamri Yahya serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, CP Dato’ Sri Rosli Ab. Rahman. Manakala Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato’ Sri Mohmad Salleh merupakan penerima tunggal lencana kehormat selam tempur.

Turut hadir dalam majlis tadi, Regional Director IPSC Malaysia, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Jallil Ibni Almarhum Tunku Osman, para pegawai kanan, orang awam dan rakan-rakan media.

1
Sekitar Pertandingan Menembak IPSC Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM 2018 berlangsung.

3
Sekitar aksi 69 Komando semasa Hari Ulang Tahun (HUT) 69 Komando PDRM ke-49.

2
69 Komando menjulang trofi kejohanan IPSC Piala KPN 2018 yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

5
Bergambar kenangan bersama Ketua Polis Negara.


Pengarah-Pengarah PDRM bergambar kenangan di Hari Ulang Tahun (HUT) 69 Komando PDRM ke-49.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS