Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PDRM ANJUR TAHLIL, DOA SELAMAT MEMPERINGATI ANGGOTA KESELAMATAN YANG TERKORBAN DAN CEDERA

Kuala Lumpur, 26 Disember 2018 –  Sebagai tanda solidariti terhadap pegawai dan anggota keselamatan yang telah meninggal dunia dan tercedera semasa menjalankan tugas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat Khas anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bertempat di Masjid Bukit Aman, dekat sini, sebentar tadi.

Majlis yang dipimpin oleh Penolong Pengarah JIPS (Agama), Bukit Aman merangkap Imam 1 Masjid Bukit Aman, ACP Haji Ghazali Haji Daud itu diadakan khas buat pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota polis Allahyarham Konstabel Mohd Zamiri Sinsian dan Allahyarham Lans Koperal Sokongan Khairul Faizi Abu Kassim. Majlis turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Konstabel Osman Ibrahim yang masih koma agar pulih seperti sediakala. 

PB Muhammad Adib telah terkorban dalam insiden kekecohan proses pengambilalihan hartanah dan pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya Selangor. Allahyarham Konstabel Mohd Zamiri Sinsian yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Travers pula meninggal dunia akibat dirempuh oleh pemandu mabuk ketika beliau sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan di Jalan Semantan, Kuala Lumpur manakala rakannya Konstabel Osman Ibrahim mengalami pendarahan dalam kepala dan masih tidak sedarkan diri. Allahyarham Lans Koperal Sokongan Khairul Faizi Abu Kassim yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pula meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Batu Caves, Selangor.

Iringan doa selamat sebagai tanda kesyukuran terhadap Yang Maha Esa di atas ukhwah yang terjalin antara pasukan keselamatan di samping mensyukuri nikmat keharmonian yang telah dikecapi di dalam negara selama ini.

Majlis yang diakhiri dengan solat Zohor secara berjemaah itu turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun, Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Haji Nordin Fauzi, Timbalan Pengarah JIPS (Agama dan Kaunseling) mewakili Pengarah JIPS, DCP Dato' Hashim Ali, barisan pengarah dan timbalan pengarah, warga PDRM Bukit Aman serta JBPM Kuala Lumpur.

al fatihah salam takziah
Al-Fatihah dan salam takziah.

0R9A0719
Sekitar Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Bukit Aman.

0R9A0715
Sekitar Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Bukit Aman.

0R9A0738
Sekitar Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Bukit Aman.

_MG_3430
Sekitar solat fardhu Zohor.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS