Kuala Lumpur, 29 Julai 2019 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) buat julung-julung kalinya menjayakan Roadshow Autisme: Garis Panduan PDRM, di sini, pagi tadi.
Majlis perasmian yang berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Dato' Seri Abdul Hamid Bador diiringi Ketua Urus Setia KPN (Pembangunan dan Penyelidikan), CP Dato' Ramli Haji Din.
Berucap dalam majlis tersebut, Dato' Seri Abdul Hamid berkata, inisiatif tersebut membuktikan PDRM prihatin dan memandang serius mengenai kes-kes yang melibatkan individu autisme.
“Jerayawara ini telah bermula pada 19 Julai di Pulau Pinang dan merupakan kesinambungan dari pelancaran Buku SOP Autisme PDRM pada 25 Mac yang lalu,” katanya.
Menurutnya, garis panduan ini turut digunapakai semasa mengendalikan siasatan terhadap golongan-golongan orang kurang upaya lain seperti 'down syndrome', 'cerebral palcy' dan lain-lain yang seumpama dengannya.
Antara pihak yang terlibat dalam penyediaan SOP ini adalah Pusat Genius Kurnia, Yayasan Pengaman Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan dan Persatuan Autisme Malaysia (NASOM).
Malaysia merupakan negara ketiga di Asia menyediakan garis panduan dalam pengendalian penyiasatan kes-kes yang melibatkan golongan autisme sepertimana tercatat dalam United Nation Convention On Rights Of Persons With Disabilities (CRPD) 2006.
Dalam perkembangan yang lain, PDRM turut mengadakan kolaborasi dengan Yayasan Pengaman Malaysia dan Genius Kurnia di bawah Kementerian Pendidikan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam usaha menubuhkan Pusat Autisme PDRM-MAIWP yang akan direalisasikan pada bulan Januari 2020.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), CP Dato’ Zamri Yahya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan Dan Pembangunan) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Roadshow Autisme: Garis Panduan PDRM, CP Dato’ Ramli Haji Din, Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Norian Mai, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dato’ Yong Lei Choo, Pengerusi MAIWP, Dato' Sri Syed Hussien Abd Kadir, Timbalan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Hussin Haji Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Haji Abdul Aziz Jusoh, Pengarah Genius Kurnia Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Madya Dr. Hasnah Toran, pegawai-pegawai kanan PDRM serta wakil-wakil media.

Ketua Polis Negara, IG Dato' Seri Abdul Hamid Bador bersama-sama pegawai-pegawai kanan, tetamu jemputan turut beramah mesra dengan anak-anak autisme setelah selesai majlis pelancaran Roadshow Autisme: Garis Panduan PDRM pada hari ini.

Ketua Polis Negara, IG Dato' Seri Abdul Hamid Bador bersama-sama pegawai-pegawai kanan, tetamu jemputan turut beramah mesra dengan anak-anak autisme setelah selesai majlis pelancaran Roadshow Autisme: Garis Panduan PDRM pada hari ini.

Sesi lawatan Ketua Polis Negara ke Pameran Jualan Lukisan Anak-anak Autisme di Maktab PDRM KL hari ini.

Bacaan doa memberkati majlis dipimpin oleh Ustaz Mohd Firdaus Mohd Shuhairee dari BAKA, JIPS Maktab PDRM KL.

Deklamasi sajak oleh adik Umar Hasfizal, 21 tahun yang juga merupakan anak autisme.
-yang-juga-pengerusi-jawatankuasa-roadshow-autisme-garis-panduan-pdrm-cp-dato-ramli-haji-din-.jpg?sfvrsn=2)
Ucapan oleh Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan Dan Pembangunan) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Roadshow Autisme: Garis Panduan PDRM, CP Dato’ Ramli Haji Din.

Ucapan perasmian daripada Ketua Polis Negara, IG Dato' Seri Abdul Hamid Bador.

Sesi bergambar kenangan bersama Ketua Polis Negara, IG Dato' Seri Abdul Hamid Bador.