Berita

TINGKATKAN INTEGRITI DAN BANTERAS RASUAH SEHINGGA KE AKAR UMBI – KPN

Kuala Lumpur, 28 Ogos 2019 – Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah (JAR) Induk Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini, bagi tujuan memantapkan integriti warga Pasukan dan membanteras  gejala rasuah sehingga ke akar umbi.

Ketua Polis Negara, IG Dato’ Seri Abdul Hamid Bador berkata, perjumpaan bersama pihak Governens, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) tersebut antara lain turut membincangkan mengenai perkembangan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan  perancangan pembangunan Pelan Antirasuah PDRM (OACP PDRM).

“Kita semua perlu memikul tanggungjawab secara kolektif dalam membangunkan OACP PDRM mengikut acuan dan keutamaan Pasukan, supaya menjadi agensi yang bersih daripada rasuah serta mempamerkan elemen integriti sebagai asas penyampaian perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia,” ujar beliau.

Tambah Dato’ Seri Abdul Hamid yang juga Pengerusi OACP PDRM, warga PDRM perlu peka, sensitif dan proaktif bagi mengelakkan berlakunya ketirisan ataupun rasuah yang boleh menjejaskan kredibiliti Pasukan apabila Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) diwujudkan kelak.

Mesyuarat turut menyaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, CP Dato’ Zamri Yahya dilantik mengetuai OACP PDRM bersama ahli-ahli jawatankuasa kerja yang terdiri daripada wakil-wakil pegawai dari semua jabatan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor, Pengarah JIPS merangkap Setiausaha Mesyuarat JAR Induk PDRM, Dato’ Zamri Yahya, barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Polis, Ketua-ketua Polis Negeri dan pegawai kanan.

1
Ketua Polis Negara, IG Dato’ Seri Abdul Hamid Bador semasa Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah (JAR) Induk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

3
Sekitar Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah (JAR) Induk Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlangsung.

2
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor, turut hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah (JAR) Induk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS