Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

#LegasiPejuangSeragamBiru SARJAN AZMAN MUDA

Sarjan Azman Muda dilahirkan pada 5 Februari 1965 di Kuala Terengganu. Beliau mula berkhidmat dalam Pasukan polis pada 21 Februari 1988 sebagai Konstabel dan menjalani latihan asas kepolisan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Bahau, Negeri Sembilan.

Pada 20 Mac 1996, Sarjan Azman yang ketika itu bertugas bersama Insp. Zahir Mamat di Pondok Polis Pandan Indah, Ampang, Selangor telah menerima aduan melalui panggilan telefon daripada seorang lelaki tentang berlakunya insiden pegaduhan di Taman Pandan Perdana, Ampang, Selangor. Sarjan Azman bersama Insp. Zahir bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki motosikal pasukan. Apabila tiba di lokasi, mereka telah pergi ke rumah pengadu tanpa mengetahui yang satu kejadian samun sedang berlaku di rumah pengadu tersebut.

Sejurus merasakan ada sesuatu yang tidak kena, Sarjan Azman dan Insp. Zahir terus menyerbu masuk ke rumah pengadu dan mendapati pengadu terbabit telah diikat di bahagian tangan dan kakinya di kawasan ruang tamu. Dalam masa yang sama, tiga orang lelaki sedang melarikan diri melalui pintu belakang rumah pengadu terbabit.

Sarjan Azman dan Insp. Zahir mengejar ketiga-tiga suspek berkenaan menggunakan motosikal dan mereka bertembung semula di persimpangan jalan dalam kawasan perumahan yang sama. Suspek yang sedang berlari menuju ke arah belukar, telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah Sarjan Azman dan Insp. Mohd. Zahir.

Bagi menyelamatkan diri, Sarjan Azman dan Insp. Mohd. Zahir turun daripada motosikal serta berlari mencari tempat perlindungan. Kemudiannya, dua dari suspek berkenaan mengambil motosikal yang ditunggang Insp. Mohd Zahir bagi tujuan melarikan diri. Tanpa menghiraukan keselamatan diri, Sarjan Azman dan Insp. Mohd Zahir terus menerkam ke arah salah seorang suspek tersebut lalu memberkasnya.

Rentetan daripada peristiwa tersebut, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke X, Tuanku Ja’afar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman telah berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat PGB kepada Sarjan Azman pada pada 7 Jun 1997.

#PolisDirajaMalaysia
#RoyalMalaysiaPolice
#PDRM
#RMP
#LegasiPejuangSeragamBiru

Image may contain: 1 person
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS