Berita

ARTIKEL PILIHAN: JANGAN SERTAI PERHIMPUNAN BANTAH PELANTIKAN PERDANA MENTERI

Kuala Lumpur, 29 Februari 2020 - Polis hari ini memberi amaran kepada individu atau pihak yang berhasrat menganjurkan perhimpunan haram bagi membantah pelantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Seri Haji Mazlan Lazim berkata, tindakan tegas menanti mereka yang terlibat menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan haram.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihati orang ramai agar menghormati keputusan yang telah dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Sejurus pengumuman pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tular di media sosial beberapa individu menyeru untuk mengadakan perhimpunan di ibu negara.

“Nasihat saya tidak perlu buatlah, pasal kita telah ikut proses demokrasi dan Perdana Menteri pun dah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Pihak polis sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Oleh itu, saya mintalah jangan kita turun kerana ia akan mengancam keselamatan negara kita,” jelas Datuk Seri Mazlan.

Sumber: Astro AWANI

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS