Berita

#PPN #COVID-19 SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2021: PDRM BANGGA BERJUANG BERSAMA RAKYAT JADI 'PELINDUNG' KEPADA KELUARGA MALAYSIA

Putrajaya, 31 Ogos 2021 – Walaupun dunia kini masih lagi terkesan dengan pandemik COVID-19, namun atas usaha berterusan pihak kerajaan dan semua agensi keselamatan lain, Malaysia sekali lagi dapat menyambut sambutan Hari Kebangsaan ke-64 tahun dalam penuh kesederhanaan di Dataran Pahlawan, di sini.

Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan antara petugas barisan hadapan (frontliners) utama negara juga tidak ketinggalan memeriahkan sambutan dalam norma baharu tahun ini sebagai manifestasi menunjukkan semangat patriotisme buat negara tercinta.

Malah, ucapan khas Ketua Polis Negara, IG Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani sempena Hari Kebangsaan 2021 yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia baru-baru ini, turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama PDRM menjadi masyarakat yang bertangungjawab dalam menentang COVID-19 demi kemakmuran negara.

Selain terlibat dalam jawatankuasa induk keselamatan sambutan pada tahun ini, warga PDRM sebagai 'pelindung' kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, Keluarga Malaysia juga tidak ketinggalan menjadi 'penyeri' persembahan yang melibatkan gabungan lain-lain badan beruniform.

Seramai 15 anggota Pancaragam Pusat PDRM yang diketuai pegawainya, ASP Mesmoro Edward dan Drum Major, Koperal Mohd Fahrul Redza Ramlan berpeluang membuat pertunjukan di hadapan para pembesar dan tetamu kehormat negara yang hadir.

Manakala Penolong Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan), Jabatan Pengurusan, ACP Tuan Mohd Faizal Yahya pula dipilih menjadi salah seorang pembaca ikrar Rukun Negara bersama para pendidik dan 'frontliners' negara.

Seperti kelaziman, RTM menerusi TV1 juga akan bersiaran secara langsung melalui programnya, ‘Terima Kasih Malaysia’ yang membawa penampilan khas secara maya dua panel jemputan iaitu SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, SAC Tuan M.V. Srikumar M. Nair dan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Dato' Hashim Aman Shah.

Sungguh pun sambutan pada tahun ini dilaksanakan dalam skala yang kecil, namun kehangatan program Hari Kebangsaan yang bermula awal Ogos lalu sudah terasa. Antaranya Forum Perdana Ehwal Islam dan bacaan Yasin Hari Kebangsaan secara dalam talian dan Pelancaran Bulan Kebangsaan serta Kibar Jalur Gemilang 2021 yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri terdahulu, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 7 Ogos lalu.

Kesemua program tersebut turut melibatkan warga PDRM, secara langsung menerusi Jawatankuasa Pengisian Program serta Jawatankuasa Keselamatan dan Trafik Hari Kebangsaan tahun 2021.

Sesungguhnya tema Hari Kebangsaan 2021 iaitu “Malaysia Prihatin” seharusnya menjadi pegangan buat seluruh rakyat Malaysia demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan bersama.

Buat seluruh petugas barisan hadapan negara sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia, ATM, Pihak Berkuasa Tempatan, lain-lain agensi kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, kami daripada PDRM mengucapkan jutaan TERIMA KASIH di atas pengorbanan anda semua.

Semoga Malaysia yang kita cintai akan terus dilindungi dan dikurniakan rahmat kemakmuran dari Yang Maha Esa.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS