Iskandar Puteri, 29 November 2021 - Kompleks Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Iskandar Puteri yang baharu telah siap dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia, hari ini.
Penyerahan kompleks IPD baharu itu telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainudin dengan disaksikan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir. Hj. Mohamad Zulkefly Sulaiman di Dewan Orkid.
Kompleks yang didirikan di atas tanah berkeluasan 8.093 hektar itu mempunyai bangunan pentadbiran utama setinggi dua tingkat yang menempatkan kesemua bahagian dan cawangan dalam IPD Iskandar Puteri.
Ia juga turut dilengkapi rumah kediaman pegawai dan anggota polis, rumah Persatuan Keluarga Polis, tadika, gimnasium, lokap, surau, lapang sasar serta kemudahan sokongan.
Berucap dalam majlis tadi, Dato' Seri Hamzah yakin dengan adanya bajet baharu bernilai hampir RM1.9 bilion seperti yang diumumkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilengkapkan dengan pelbagai aset dan keperluan terkini yang boleh memenuhi tuntutan tugas, seperti pembinaan IPD baharu ini.
Beliau juga yakin, Pasukan di bawah kepimpinan Tan Sri Acryl Sani akan menjadikan PDRM bertaraf "world class policing" setanding polis peringkat antarabangsa lain seperti Polis Hong Kong dan Scotland Yard.