Georgetown, 30 November 2021 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim meneruskan siri lawatan kerja rasminya dengan mengunjungi kontinjen Pulau Pinang, di sini petang tadi.
Beliau yang tiba di markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, telah disambut oleh Ketua Polis negeri, CP Dato’ Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum membuat pemeriksaan kawalan kehormatan utama seterusnya dibawa ke Dewan Serbaguna PPM untuk menandatangani buku pelawat.
Datuk Seri Hj. Mazlan telah berbesar hati menyantuni dan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat kepada 40 pesara, anak-anak yatim dan asnaf Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 20 orang penerima dalam kalangan warga kerja kontinjen Pulau Pinang yang komited dan cemerlang dalam melaksanakan tugas.
Terdahulu, Datuk Seri Hj. Mazlan telah memenuhi undangan untuk bersama-sama Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Sri Abdul Latif Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Malaysia, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim mempengerusikan mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah, Siri 9 yang diadakan di Double Tree Resort, Batu Ferringhi, di sini, pagi tadi.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh beberapa wakil agensi kerajaan antaranya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Timbalan KPN mengakhiri lawatan kerja beliau di kontinjen Pulau Pinang dengan mengadakan pertemuan untuk menyampaikan amanat kepada barisan Ketua Jabatan, Ketua Formasi dan Ketua Polis Daerah sambil menyeru agar sentiasa berusaha mencari ruang dan peluang sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan seluruh keluarga besar Pasukan, termasuklah para pesara tidak terabai dalam majlis makan malam di Mes Pegawai Kanan Jalan Lahat, Pulau Pinang.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, DCP Dato’ Fisol Salleh, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, DCP Dato’ Kasuahdi Hj. Ali, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Tuan Ruslan Khalid, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara) Bukit Aman, DCP Datuk Sulaiman Salleh dan Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, DCP Tuan Sulaiman Yahya.